Pada
hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang
perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang
terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah
disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala
objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang
Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca
tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang
diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun,
kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali
tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam
kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja
(bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa
yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani
secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan
minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang
lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia
dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya
kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya :
"sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia
berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.
Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat
keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah
dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah
waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah
1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan
melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan
oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain.
Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya
adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat
malam.
Firman
Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu
bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya
: "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :"
Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi :
Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat
At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat
Al-Muntaqa , 1/477)
4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.
Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah
syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak
kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan
menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.
5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih.
Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala
berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua
solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah
yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara
berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah.
Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat
utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah
untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran
redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith
riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan
niat". (Riwayat al-Bukhari)
7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari
dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat
dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam
sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya
di Ramadhan ini.
8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.
Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut
berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami'
as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur.
Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu
amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan
bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk
makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang
memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat
berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu
penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md
‘Uqlah, hlm 278)
10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat.
Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke
masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan
berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu,
fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan
fitnah buat lelaki ketika di masjid.
11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram,
samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran,
pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan
yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status
orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan
RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan
'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-
ذَكَرَ
الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى
السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ
وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya
: menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan
yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia
mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan
makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia
dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu
mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)
Justeru,
bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan
keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram,
simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu
bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri
dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.
12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya
: "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil,
individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" (
Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya
: "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir
berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753,
Al-Busairi : Sanadnya sohih)
Sumber : Zaharuddin.net
Nota kaki : sama-sama lah kita berusaha untuk mendapat keberkatan-Nya..
0 thought(s):
Post a Comment