Mengapa wanita Islam mesti menutup aurat terutama memakai tudung?
 Aku terbaca satu kisah di blog Zahiruddin Zabidi. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Mengetahui.
Dua Orang Sahabat Perempuan. Seorang Islam seorang lagi  Bukan Islam. Mereka berdua pergi berjumpa dengan seorang ustaz kerana  rakan bukan Islam itu tidak mahu memeluk Islam kerana perlu bertudung.
Sudah banyak orang yang ditanya oleh gadis itu termasuk ustaz-ustaz dan  orang Islam lainnya. Namun dia masih belum dapat berpuas hati dengan  jawapan-jawapan mereka semua.
Kawannya yang sudah Islam itu terus memujuk, “Cubalah dahulu sahabat,  bukan salah kita mencuba. Thomas Edison dan Kapten Fried juga hanya  berjaya setelah ribuan kali percubaannya.”
“Tapi ini soal agama? Aku yakin Tuhan punyai sebab mengapa hanya wanita  Islam sahaja yang diperlukan menutup keseluruhan badan kecuali wajah dan  kedua tapak tangan. Manakala aurat lelaki hanya dari pusat ke lutut.  Pasti ada sebabnya, tapi nampaknya orang Islam sendiri pun kurang  mengerti.”
“Engkau perli aku ya?” Kawannya itu mencebik. Dia buat tidak endah. Kawannya mengalah, terus memujuk.
“Baiklah, ini yang terakhir. Kalau jawapannya kurang memuaskan hatimu,  kita berhenti.” Tiada cara lain untuk memujuk sahabatnya itu melainkan  melafazkan janji sebegitu.
Pada suatu hari, kawan gadis itu telah membawanya berjumpa dengan seorang ustaz. Pada mulanya dia agak keberatan.
“Maaf ustaz, inilah sahabat yang saya maksudkan tempoh hari.  Alhamdulillah dia sudah mempercayai tentang Islam dan isinya. Cuma yang  menyekat dirinya daripada melafazkan syahadah ialah kerana dia tidak  dapat menerima alasan mengapa Islam menyuruh penganut wanitanya menutup  aurat.”
Ustaz muda yang berjanggut sejemput itu tersenyum. Seakan faham dia pada masalah yang menjadi halangan kepada gadis itu.
Sejurus kemudian dia bersuara kepada gadis itu.
“Boleh saya bertanyakan beberapa persoalan dan awak jawap dengan sejujur mungkin?”
“Boleh, tidak ada masalah.” Tingkah si gadis.
“Baiklah, kamu pernah ke pasaraya?”
“Pernah.”
“Pernah masuk ke kedai emas?”
“Pernah.”
“Pernah ke pasar malam?”
“Pernah.”
Ustaz muda itu terdiam sejenak. Lantas menyambung kembali persoalannya.
“Baik, antara tempat-tempat yang saya nyatakan tadi di manakah  dipamerkan atau dijual batu permata, intan berlian, emas perak yang  mahal-mahal harganya?”
“Tentu sahaja di kedai emas.”
“Bagaimana keadaannya?”
“Diletakkan di para yang cantik untuk pameran, dilindungi cermin yang  kukuh dan kalis peluru untuk mengelak dari dikhianati. Bahkan mungkin  tersimpan di dalam peti besi bagi tujuan keselamatannya dan hanya boleh  dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja.”
“Bagaimana pula dengan barangan kemas dari jenis yang sama namun barangan tiruan. Di manakah tempat mereka?”
“Jika yang sebegitu, mudah sahaja dijumpai di tepi-tepi jalan, malah  sentiasa terdedah dan tidak ada yang sudi mencurinya kerana kemurahannya  itu.”
Mata sahabat gadis itu bersinar, “Ada harapan ,” katanya di dalam hati.
Ustaz tersebut segera menerangkan maksud analogi itu.
“Begitulah juga Islam yang sentiasa meletakkan wanita di tempat yang  tinggi dan perlu sentiasa terjaga. Kewajipan menutup aurat adalah kerana  tubuh badan seorang wanita itu adalah sangat berharga dan suci, mana  mungkin kemuliaan dan kesucian seorang wanita itu dipamerkan kepada  manusia yang tidak sepatutnya? Ibarat emas permata, intan berlian yang  sentiasa terjaga dan dilindungi malah diletakkan di dalam bekas yang  cantik dan selamat.”
Gadis berdua itu terpana. Jelas, terang lagi bersuluh. Sahabatnya tidak putus mengucapkan syukur.
Dia berkata, “Jika begitu ustaz, mereka yang tidak menutup aurat ibarat  barangan murahan yang dapat dijumpai di tepian jalan, boleh dipegang  sesuka hati malah harga sangat murah? Jika begitu, benarlah suruhan  Allah untuk wanita menutup aurat sepertimana yang termaktub dalam surah  an-Nur ayat ke-31.”
Ustaz itu hanya tersenyum sambil mengangguk.
Dan si gadis itu berkata dengan lancar dan tenang, “Tiada Tuhan melaikan Allah, nabi Muhammad pesuruh Allah.”
Semua melafazkan syukur.
nota kaki : a gentle reminder for me & all muslims out there. semoga kita semua peroleh hidayah dari-Nya untuk terus perbaiki diri... amin
0 thought(s):
Post a Comment